Collection: Baju Kurung Pesak

Baju kurung merupakan sejenis pakaian tradisional bagi masyarakat Melayu yang berada di  rantau Nusantara yang (terdiri daripada negara-negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Malaysia, dan Brunei). Ia dipakai oleh kebanyakan oleh semua orang tanpa mengira umur, bangsa atau agama. Baju kurung biasanya dipakai untuk acara rasmi dan perkahwinan, pertunangan, dan upacara keagamaan. Ia telah menjadi pakaian rasmi bagi penduduk Malaysia dan Brunei.


Sejarah pakaian baju kurung itu dikatakan berasal dari Mesir, dan kemudiannya diperkenalkan ke Indonesia melalui pedagang apabila Islam mula tersebar di Kepulauan Melayu. Nama asal baju kurung adalah baju longgar, diambil daripada perkataan "djallabiyah". Menurut maklumat Century Star Malaysia, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, pakaian penduduk Melaka pada asalnya pendek, tetapi kemudian diubah suai oleh Tun Hasan, Istana Tenmeng Melaka. Beliau merupakan anak kepada Tun Mutahir, menteri kewangan Melaka yang ketujuh, dan dikatakan sangat berpegang teguh kepada ajaran Islam. Reka bentuk baju kurung tradisional yang longgar dan labuh yang masih wujud sehingga kini dikreditkan kepadanya.


Bagi mengelak pakaian ini berlalu dari masa ke masa, telah wujud ramai pereka fesyen tempatan yang mengetengahkan idea dengan memberi nafas baharu, menghasilkan rekaan terkini mengikut peredaran zaman sehingga lahirnya Baju Kurung Moden. Namun begitu, terdapat beberapa varian Baju Kurung moden yang diinspirasikan daripada rekaan tradisional atau budaya lain seperti Mini Kurung, Baju Kurung Peplum, Doll Kurung, Baju Kurung Saree, Baju Kurung Pleated, Baju Kurung Kimono, Baju Kurung Pahang moden dan lain- lain



Contoh Baju Kurung Pesak










TATACARA BERPAKAIAN MELAYU





 

Dalam Pakaian Cara Melayu (Siti Zainon Ismail, 2006:156) ada menjelaskan gabungan jenis pakaian yang menjadikan pakaian Melayu itu satu persalinan yang lengkap. Beliau merujuk kepada kain, baju dan seluar yang menjadi asas pakaian yang disebut ‘tiga persalinan’ dan menjadi lebih lengkap apabila ditambah dengan hiasan kepala dan ikat pinggang, yang disebut sebagai ‘lima persalinan’. Dalam Sejarah Melayu juga menghadkan penggunaan warna-warna yang membawa maksud kebesaran raja-raja daripada digunakan oleh masyarakat umum, contohnya, warna-warna kuning dan putih menjadi keutamaan dalam istiadat raja-raja Melayu (Syed Ahmad Jamal,1992).

Sungguhpun begitu, tatacara pakaian Melayu juga menitik beratkan perlambangan sosial yang bermaksud untuk menjaga maruah diri si pemakai. Contohnya, bagi perempuan yang sudah berkahwin, apabila berkain sarung hendaklah meletakkan kepala kain di bahagian belakang. Sekiranya yang memakai kain sarung itu anak dara, maka kepala kain itu harus berada di sebelah hadapan. Bagi lelaki pula, apabila memakai sampin, yang bujang haruslah memakainya di atas lutut manakala yang sudah berkahwin memakai samping separas betis (Tenas Effendy, 2005). Kaedah ini secara tidak langsung menjadi petunjuk kepada masyarakat status pemakai tersebut dan seterusnya membatasi pergaulan mengikut adat Melayu.

Tenas Effendy (2004) juga menggariskan lima etika berpakaian cara Melayu iaitu: pantang membuka aurat, pantang terlalu nipis, pantang terlalu ketat, pantang mengada-ada dan pantang memandai-mandai. Kelima-lima etika ini mencerminkan kesempurnaan rekaan pakaian Melayu khususnya yang terdapat pada Baju Kurung. Begitu juga dengan maksud kancing sebutir yang menutup bukaan leher baju tersebut dikatakan membawa maksud keesaan Allah. Sementara jahitan tulang belut yang melingkari bulatan lubang leher membawa maksud kekukuhan ukhwah dalam satu jalinan yang kemas dan rapat.










TATACARA BERPAKAIAN DALAM ISLAM

 

Dalam Al-Qur’an, surah An-Nur ada menerangkan adab pergaulan dan berpakaian yang diwajibkan ke atas umatNya. Menurut Islam, pakaian yang wajib dipakai adalah pakaian yang menutup aurat. Abdul aziz Ismail (2005), menggariskan bahawa tiada ketetapan tentang bagaimana rekabentuk pakaian yang harus dipakai oleh orang Islam melainkan beberapa panduan yang diberikan seperti:

  1.             Menutup aurat; iaitu dari bahagian pusat ke lutut (lelaki) dan keseluruhan anggota badan kecuali kedua tapak tangan dan muka (perempuan)
  2.             Tidak mengikut bentuk badan

iii.            Tidak menyerupai orang kafir

  1.           Tidak diperbuat daripada kain yang nipis sehingga menampakkan bayang atau kulit.
  2.             Tidak menyerupai lelaki (untuk wanita)
  3.           Tidak menyerupai wanita (untuk lelaki)

vii.          Tidak memperlihatkan perhiasan diri kepada bukan muhrim (mahram).

Islam menggariskan bahawa keperluan menutup aurat itu adalah wajib dari pusat ke lutut bagi lelaki dan keseluruhan anggota badan kecuali tapak tangan dan muka bagi kaum perempuan. Dalam tatacara berpakaian dalam Islam juga tidak menitik beratkan fesyen atau rupa dan jenis pakaian yang dipakai. Asalkan pakaian tersebut tidak menunjukkan bentuk badan atau bayang dan tidak menggunakan kain nipis sehingga menampakkan warna kulit. Ini bermakna kain-kain nipis seperti chiffon, kain kasa, georgette dan seumpamanya tidak sesuai dipakai oleh orang Islam melainkan kain ini dilapik dengan lining (Asliza Aris, 2014).

Selain daripada itu, pakaian yang menyerupai lelaki tidak boleh dipakai oleh orang perempuan dan begitulah sebaliknya. Larangan ini bertujuan supaya tiada kekeliruan sehinggakan orang yang melihat cara seseorang itu berpakaian tidak dapat mengenali jantina si pemakai. Kaum perempuan juga dilarang memperlihatkan perhiasan diri kepada orang lain, terutama lelaki yang bukan dari kalangan suami dan adik beradiknya. Ini adalah sebagai satu perlindungan daripada terdedah kepada pandangan orang yang bukan muhrim.






BAJU KURUNG DARI SUDUT PERSPEKTIF ISLAM

 

Melalui analisa yang telah dilakukan, sememangnya Baju Kurung tradisional yang dipakai oleh orang Melayu adalah hampir kepada pakaian yang dianjurkan oleh Islam. Konsep pakaian tersebut yang menyebut ‘kurung’ sebagai mengurung atau melindungi pemakai daripada aib dan malu (Tenas Effendy, 2004). Walaupun kaedah menutup kepala menggunakan kelubung atau kain selendang tidak sempurna seperti yang dikehendaki Islam, tudung telah dijadikan sebahagian daripada struktur tradisi pakaian Melayu. Dari segi rupabentuk Baju Kurung yang dihasilkan, samada dalam betuk lurus mahupun ‘A’, kedua-dua bentuk ini dipakai dengan gaya yang labuh dan longgar selaras dengan pakaian yang diunjurkan oleh Islam (Jadual 1).

Perlaksanaan ini dapat dilihat melalui tatacara memakai pakaian tersebut. Selain daripada rekabentuknya yang sedia longgar, padanan helaian pakaiannya dipakai secara berlapis. Figura 4 menunjukkan bagi pakaian wanita, lapisan pertama adalah kain sarung yang labuh dipakai menutupi bahagian pinggang ke bukulali. Lapisan kedua pula adalah baju yang longgar dan labuh sehingga menutupi lutut atau hingga ke paras betis. Lapisan ketiga adalah kain dagang luar yang menutupi bahagian punggung dengan cara ikatan atau di pegang pada paras pinggang. Seterusnya penutup kepala atau kelubung yang menutupi bahagian kepala ke dada. Konsep memelihara diri atau ‘melindung diri dari aib’ ini juga dapat dilihat dari cara pemakaian kain sarung yang mempunyai corak kepala kain. Bagi kaum perempuan, perletakan kepala kain di bahagian hadapan untuk anak dara dan bahagian belakang untuk perempuan berkahwin bukan hanya satu simbol status dalam masyarakat. Malah perletakan kepala kain ini membawa simbol ‘pengurungan atau menutup aib’ (Tenas Effendy, 2005).

Begitu juga dengan Baju Melayu yang dipakai oleh kaum lelaki. Lapisan pertamanya ialah seluar Aceh yang ditindih di bahagian cawat sebelah hadapan dan diikat dengan talipinggang. Bahagian seluar ini ditutupi pula dengan baju kurung yang labuh hingga ke paras paha. Dan akhirnya, lapisan ketiga bahagian pinggang ke lutut ini ditutupi pula dengan sehelai samping. Lapisan ini membuktikan betapa masyarakat Melayu begitu meneliti kehendak Islam dalam berpakaian sesuai dengan ungkapan, memakai biarlah ‘mengikut adat, kelak nanti membawa aib’. Maksudnya, jika salah cara berpakaian, boleh mendatangkan fitnah kaepada pemakai dan kelak membawa aib kepada dirinya sendiri.



Kesimpulan 


Rumusan yang dapat digariskan di sini adalah Baju Kurung yang asal sememangnya direka dan digaya mengikut tatacara pakaian Melayu yang berteraskan hukum Islam. Pakaian tersebut, baik lelaki mahupun perempuan  menghindari eksploitasi bentuk badan dan bertujuan melindungi maruah yang memakai pakaian tersebut. Ia juga dibentuk supaya mudah dapat mengerjakan ibadah seperti solat. Ini dibuktikan melalui potongan-potongan badan, lengan dan bukaan kaki seluar yang luas dan longgar. Bagaimanapun, oleh kerana kefahaman yang sedikit tentang asal-usul dan adab mengenakan Baju Kurung, maka rekaan-rekaan baru yang diinspirasikan daripada Baju Kurung tradisional telah diubah sifatnya mengikut selera pakaian moden. Seringkali kita melihat ‘Baju Kurung Moden’ yang ada pada hari ini diubah sifat dan gayanya sehingga tidak langsung menyerupai Baju Kurung. Namun, kenapa baju-baju moden yang dipakai oleh majoriti kaum Melayu ini masih menggunakan nama asalnya Baju Kurung? Apa yang telah didapati fahaman dan makna Baju Kurung itu sendiri amat longgar di kalangan masyarakat samada yang mereka pakaian tersebut (pereka fesyen), yang mempromosikannya (media) dan yang menggunakannya (konsumer). Oleh itu, jika manipulasi terhadap baju kurung ini dibiarkan, generasi baru tidak lagi kenal bentuk Baju Kurung dan prinsip-prinsip yang terbina dalam cara pakaian Melayu ini.

No products found
Use fewer filters or remove all