Collection: Baju Kurung Johor

Secara umumnya, Baju Kurung dipakai oleh lelaki dan perempuan Melayu di Nusantara. Bentuk Baju Kurung adalah labuh dan longgar dan dikategorikan dalam jenis pakaian tunik kerana untuk memakai baju tersebut ke badan adalah dengan cara menyarung baju tersebut melalui kepala. Pada asalnya Baju Kurung yang dipakai oleh kaum lelaki dipadankan dengan kain sarung. Setelah pelbagai jenis seluar diperkenalkan Baju Kurung mula dipadankan dengan seluar. Sementara Baju Kurung yang dipakai oleh kaum perempuan dipakai dengan kain sarung yang digayakan dengan ikatan ombak mengalun (Zubaidah Shawal, 1994). 

Terdapat tiga jenis potongan Baju Kurung untuk perempuan, iaitu Baju Kurung Pesak Buluh, Baju Kurung Potong Riau dan Baju Kurung Cekak Musang (Figura 1 dan Figura 2). Kaum perempuan memakai baju ini dengan kain sarong yang diikat dengan gaya ombak mengalun. Sementara kaum lelaki hanya memakai Baju Kurung Pesak Buluh dan Baju Kurung Cekak Musang yang dipadankan dengan seluar panjang. Perbezaannya terletak pada potongan leher, kekek dan pesak (Mohd. Said Sulaiman, 1931). Baju Kurung lelaki juga lebih dikenali dengan panggilan Baju Melayu. Kemungkinan nama ini diberi untuk membezakan penggunaan baju di antara lelaki dan perempuan.

Lewat 1800 Sultan Johor, Sultan Abu Bakar telah menamakan baju Melayu yang dipakai oleh orang-orang Johor sebagai Baju Kurung Teluk Belanga. Baju ini dikhususkan dengan jahitan tulang belut di sekeliling lubang lehernya (Mohd. Said Sulaiman, 1931). Dalam buku Sejarah Melayu juga ada menyatakan bahawa Baju Kurung yang asal mempunyai potongan yang kecil dan pendek. Potongan ini telah diubah oleh Tun Temenggung Hassan menjadi longgar dan labuh menutupi bahagian punggung (Siti Zainon Ismail, 2006:181).
























RUPA BENTUK BAJU KURUNG JOHOR















Rupa Bentuk Baju Kurung Johor terdiri daripada pola-pola geometrik yang berbentuk segi empat dua sama yang menjadikan bahagian badan dan lengan, segi empat tak sama untuk pesak, segiempat sama yang dilipat menyerong pada penjurunya untuk membentuk segi tiga dua sama dan membentuk kekek dan bulatan yang ditebuk untuk lubang leher. Manakala kain sarung berbentuk empat segi dua sama yang berukuran lebih kurang 1.15 meter labuh dan 0.85 meter lebar setelah disambung kedua-dua puncanya. Semasa pemerintahan Sultan Ibrahim (1886 – 1919), sekeping kocek kecil ditambah di bahagian kiri badan, di antara ketinggian dada dan pinggang (Siti Zainon Ismail, 2006). Di pertengahan 1950an, poket ini dibuat tersorok di antara pesak supaya tampak kemas.


Sebelum dipengaruhi oleh pakaian barat, pola asal seluar panjang yang digunakan oleh kaum lelaki berbentuk segi empat yang dipotong kepada dua bahagian untuk menghasilkan kaki seluar. Bahagian cawat seluar ditambah dengan sekeping kain berbentuk empat segi atau tiga segi yang dipotong menyerong sebagai pesak. Bahagian pinggang pula ditambah dengan sekeping kain berbentuk empat segi panjang yang dipanggil tongkah. Antara rekaan seluar yang terhasil melalui potongan ini adalah Seluar Aceh dan Seluar Gunting Cina (Zubaidah Shawal, 1994). Jenis seluar ini besar dan longgar. Di bahagian pinggang, sekeping kain yang lebarnya lebih kurang sejengkal disambung dan dinamakan tongkah. Apabila memakai seluar jenis ini bahagian tongkah akan ditemukan ke tengah badan dari tepi kiri dan kanan badan dan dilipat-lipat sehingga ketat di bahagian pinggangnya. Kemudian bahagian ini dikemaskan dengan kain bengkung dan samping.  Labuh seluar hingga ke paras betis dan ada yang labuh ke buku lali.


Sesuai dengan ungkapan Melayu-Riau yang berbunyi, “...kibar-berkibaran ditiup angin, tidak sempit menyampul nangka ... aib tertutup malu tersimpan, sesuai adat dengan syarak,” yang bermaksud potongan pakaian tersebut tidak sendat, malah longgar yang berpadanan dan mengikut hukum syarak (Tenas Effendy, 2005:6). Snouck Hurgronje, seorang pakar sejarah berbangsa Belanda pernah menyatakan, potongan seluar yang lebar pada bahagian cawat seluar ini adalah ciri khas sebagai indikasi pakaian orang Islam (Siti Zainon Ismail, 2006:195). 






PERUBAHAN TERHADAP BAJU KURUNG JOHOR PADA HARI INI

 







‘Baju Kurung Johor’ yang ada di pasaran hari ini banyak yang mempunyai badan yang dilapis-lapis, kadang-kala kain nya juga berlapis dan tidak mempunyai sisi yang disusun ombak mengalun. Adakalanya baju dipadankan dengan dress panjang, kain berlipat di tengah belakang atau kain yang diperbuat daripada jenis kain yang memeri seperti lycra, jersey dan knit. Lengan baju juga diubah berlapis-lapis, kembang di pergelangan tangan dan adakalanya bercekak. Kebiasaannya pakaian sebegini dipopularkan sebagai ‘Baju Kurung Moden’ hanya kerana bentuk lehernya dikekalkan sepertimana Baju Kurung yang asal. Rekaan yang beginilah yang menjadikan ‘Baju Kurung’ disalah erti dalam adab pakaian. Ini disebabkan rekaan yang baru ini biasanya mengikut bentuk badan, ada yang menggunakan kain nipis, pendek dan tidak menutup kepala berbeza daripada adab berpakaian tradisional orang Melayu yang terdahulu.

Kebanyakan daripada Baju Kurung Moden ini tidak lagi menggunakan pola-pola Baju Kurung tradisional, iaitu tidak menggunakan pesak dan kekek. Di mana, ciri-ciri itulah yang antaranya menjadi ciri-ciri utama kepada pola Baju Kurung. Majalah-majalah fesyen dan pereka-pereka fesyen pula gemar mengetengahkan padanan baju dan kain labuh sebagai ‘Baju Kurung Moden’. Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk menjadikan pakaian tradisi itu sebagai inspirasi kepada yang baru kerana dengan adanya yang baru, yang tradisi itu tetap diingati dan dirujuk. Namun demikian, seharusnya apabila gaya, potongan dan rupanya telah menjadi baru, maka nama pakaian tersebut haruslah sejajar dengan fesyen yang diketengahkan tanpa perlu mengheret penggunaan nama tradisional untuk mempromosikan fesyen tersebut.













CONTOH BAJU KURUNG JOHOR KINI


















KESIMPULAN

 

Rumusan yang dapat digariskan di sini adalah Baju Kurung Johor yang asal sememangnya direka dan digaya mengikut tatacara pakaian Melayu yang berteraskan hukum Islam. Pakaian tersebut, baik lelaki mahupun perempuan  menghindari eksploitasi bentuk badan dan bertujuan melindungi maruah yang memakai pakaian tersebut. Ia juga dibentuk supaya mudah dapat mengerjakan ibadah seperti solat. Ini dibuktikan melalui potongan-potongan badan, lengan dan bukaan kaki seluar yang luas dan longgar. Bagaimanapun, oleh kerana kefahaman yang sedikit tentang asal-usul dan adab mengenakan Baju Kurung, maka rekaan-rekaan baru yang diinspirasikan daripada Baju Kurung tradisional telah diubah sifatnya mengikut selera pakaian moden. Seringkali kita melihat ‘Baju Kurung Moden’ yang ada pada hari ini diubah sifat dan gayanya sehingga tidak langsung menyerupai Baju Kurung. Namun, kenapa baju-baju moden yang dipakai oleh majoriti kaum Melayu ini masih menggunakan nama asalnya Baju Kurung? Apa yang telah didapati fahaman dan makna Baju Kurung itu sendiri amat longgar di kalangan masyarakat samada yang mereka pakaian tersebut (pereka fesyen), yang mempromosikannya (media) dan yang menggunakannya (konsumer). Oleh itu, jika manipulasi terhadap baju kurung ini dibiarkan, generasi baru tidak lagi kenal bentuk Baju Kurung dan prinsip-prinsip yang terbina dalam cara pakaian Melayu ini.

No products found
Use fewer filters or remove all